19.3.10

Adakah Jodoh Pertemuan Telah Ditentukan ?

Posted by Khalil Khusory Zainol 11:08 AM, under | 1 comment



Buat panduan bersama, soal jodoh dan pertemuan bukan suatu yang mudah untuk diungkapkan kerana kadang-kadang ia terjadi dengan sendiri tanpa kita sedari.

Allah berfirman : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”(Surah Ar-Rum: 21)

Dalam kehidupan masyarakat, perkahwinan dan pernikahan sangat diperlukan. Tujuannya adalah untuk meneruskan kehidupan umat manusia di bumi ini. Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan.

Seringkali kita mendengar ungkapan: jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Pendapat ini baik kerana ia dapat mendidik manusia dengan sifat Qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi, wujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir, tanpa sebarang usaha.

Beberapa pendapat tentang jodoh :

1- JODOH SEBAGAI TAKDIR

“Jodoh di tangan Tuhan, manusia mesti merima jodohnya, baik ataupun buruk.” Pendapat ini sangat besar pengaruhnya dan berkembang luas dalam masyarakat, tapi sayang pendapat ini kurang tepat. Jika pendapat tersebut hanya bermaksud: “Jodoh di tangan Tuhan makan ada kebenarannya. Tetapi ayat yang seterusnya terkeluar dari hakikat sebenar.

Kekeliruan yang nyata sebagai bukti lemahnya pendapat itu seringkali kita dengar, “Sudah takdir Tuhan, jodoh saya tak panjang.” Daripada pendapat itu, adakah Tuhan bersalah memutuskan hambanya? Hakikat sebenarnya, siapa yang memutuskannya.

2- MENCARI JODOH

“Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus beriktiar mencari dan memilihnya.” Pendapat ini lebih baik dari pendapat pertama, walaupun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh.

3- BERIKHTIAR DAN BERTAWAKAL

“Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan.”
Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dalam memilih jodoh. Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti :

a. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkawinan berlangsung atas persetujuan anak.

b. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.

c. Anak lelaki atau perempuan mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.

d. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.

Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut. Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi, masalah memilih jooh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua. Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam.

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kiat perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sikap berhati-hati dalam menentukan pilihan untuk pasangan hidup merupakan ciri khas dari insan budiman. Sekiranya salah membuat pilihan, bererti sepanjang hayat menanggung penyesalan sikap memilih dan ingin dipilih adalah hak bagi setiap manusia.

KESALAHAN-KESALAHAN YANG PERLU DIELAKKAN

Ketika dahulu,sangat mudah untuk ibu bapa menjodohkan anak-anak mereka.Sudah tentu kerana ketika dahulu,jarang kedengaran berita-berita seperti kes rogol,buang bayi dan gejala tidak sihat dikalangan anak-anak muda.

Zaman sekarang sudah berubah.Kedengaran sesetengah ibu bapa enggan mengahwini anak-anak mereka.Antara alasan-alasan berikut :

1- Anak-anak masih belajar dan masih muda
2- Tradisi keluarga tersebut.Contoh dalam keluarga belum pernah kahwin muda.
3- Pasangan anak mereka masih dalam tanggungan dan belum ada pendapatan.
4- Risau dengan pandangan orang.Contoh anak-anak kahwin muda,mungkin sesetengah orang akan menganggap sudah 'gatal' atau sudah terlanjur demi menutup aib.
5- Meletakkan syarat-syarat yang boleh menghalang perhubungan secara halal.


"Jangan sampai bertangguh dalam perubahan sehingga datang keterpaksaan, kerana apabila perubahan dipimpin oleh keterpaksaan dan kesusahan, ia sama ada sudah terlewat atau hasilnya kerap tidak tulen dan dipenuhi cacat celanya."
Perkara ini perlu diambil perhatian.Ada ibu bapa yang menghalalkan anak-anak mereka bercinta.Ada yang membiarkan anak-anak bebas keluar bersama berlainan jantina tanpa sebarang ikatan yang sah.
Tetapi,menghalang anak-anak untuk berkahwin dengan alasan-alasan diatas.Dengan kata lain
''Mengharamkan yang HALAL,Menghalalkan yang HARAM''.


Bak kata Ust Dzulkhairi, berkahwin bukan untuk menghabiskan masa dengan bermesra, tapi untuk melengkapkan perjuangan.
Wallahualam

18.3.10

Berita : Menanti kebebasan bersuara 'Parlimen Mahasiswa'

Posted by Khalil Khusory Zainol 12:33 PM, under | No comments

Pro Mahasiswa

Parlimen mahasiswa yang dicetuskan oleh Mohammad Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipersetujui penubuhannya oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.

Warga kampus USM sememangnya sangat berlapang dada serta berfikiran terbuka dengan Parlimen Mahasiswa ini walaupun ramai lagi mahasiswa yang tidak tahu dan sedar mengenai penubuhannya. Dalam hal ini, Pro Mahasiswa sangat berbesar hati dan ternanti-nanti kehadiran Parlimen Mahasiswa itu sendiri.

Beberapa minggu yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) dan MPP mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut.



Berdasarkan temubual Pro-M dengan seorang peserta bengkel tersebut, Muslihah binti Mazlan, beliau mengakui terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan parlimen tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.

Perkara ini sekaligus mengundang perselisihan faham kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang. Jadi mengapakah mahasiswa dalam konteks pelaksanaan parlimen perlu dibatasi oleh AUKU?

Bukankah ia dikatakan bakal menjadi platform untuk mahasiswa melontarkan idea dan pandangan tentang masalah yang berlaku di kampus dan dalam Malaysia (kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)?

Memang terdapat pihak-pihak yang menyatakan mahasiswa tidak salah bercakap tentang hal politik negara dalam persidangan, namun ia adalah secara akademik. Jelasnya, sebarang kritikan akan menimbulkan isu bahawa mahasiswa membangkang itu dan ini. Justeru, pelbagai persoalan yang bermain dalam benak fikiran mahasiswa.

Sekiranya Parlimen Mahasiswa tersekat dan disekat oleh AUKU , maka di manakah hak kebebasan bersuara mahasiswa? Kebebasan bersuara yang dimaksudkan di sini adalah tiada sebarang sekatan oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam mahasiswa untuk melontarkan idea dan kritikan membina secara akademik dan intelek.

Jikalau demikian, bagaimanakah suara mahasiswa ini akan menyumbang kepada pembangunan negara? Mahasiswa perlu bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada seluruh persekitarannya. Sekali lagi dijelaskan di sini, pendirian Pro-M sangat meraikan persidangan Parlimen Mahasiswa ini dan tidak sama sekali berniat untuk menghentikan penubuhannya.

Selain itu, ketika segala undang-undang berkaitan Parlimen Mahasiswa ini ‘diharmonikan’ oleh pihak-pihak tertentu, tidak ada seorang mahasiswa pun didedahkan tentangnya. Adakah ia bercanggah daripada resolusi bengkel penggubalan undang-undang yang terdahulu diadakan?

Tiada siapa yang tahu dan sudah pastinya apabila ia diwartakan, amat sukar untuk undang-undang tersebut dipinda kerana akan mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, pemindaan AUKU seksyen 15 yang mengambil masa yang panjang dan apa yang dipinda itu ‘masih belum sempurna’. Justeru, inilah yang menjadi sebahagian perkara yang amat dikesali oleh peserta bengkel tersebut.

Kerana kami merasakan sukar untuk mendapat pengiktirafan universiti agar suara mahasiswa didengari pihak atasan, oleh itu Pro-M sangat menginginkan kelancaran dalam penggubalan perlembagaan Parlimen Mahasiswa ini.

Pihak Pro-M tidak pernah melakukan kezaliman kerana menghukum sesuatu terhadap perkara yang belum dipastikan. Malah, merahsiakan perwartaan undang-undang daripada pihak mahasiswa merupakan suatu tindakan yang ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’.

Maka dengan itu, pihak Pro Mahasiswa bangkit untuk menuntut dua tuntutan berhubung Parlimen Mahasiswa, iaitu:

1. Undang-undang termasuk tatacara, kaedah dan sebagainya dibentangkan kepada seluruh mahasiswa kampus USM sebagai penjelasan kepada mahasiswa walaupun ia telah ‘diharmonikan’.
2. Sebarang kritikan, penambah baikan, cadangan dan saranan boleh dilakukan terhadap undang-undang ini oleh seluruh mahasiswa kampus USM sebelum perkara ini diwartakan.

Sekali lagi diingatkan, tuntutan ini perlu dilaksanakan sebelum perlembagaan Parlimen Mahasiswa diwartakan. Justeru, tuntutan Pro-M ini adalah untuk memastikan seluruh warga kampus USM sentiasa peka dengan keadaan dan isu yang berlaku dalam kampus.

Seterusnya, ia berfungsi untuk mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu oleh mana-mana pihak. Bebaskan fikiran mahasiswa.

Konklusinya, kami melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik mula mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata-mata.

sumber :http://www.harakahdaily.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...