29.11.12

Kaedah Mengulang Hafazan Al-Quran

Posted by Khalil Khusory Zainol 12:38 AM, under | No comments

بسم الله الرحمن الرحيم

Bagi seseorang hafiz yang telah rasikh hafazannya, kekuatan mengulang bergantung kepada kekuatan daya ingatan yang dimiliki. Ada setengah-setengah hafiz yang betul-betul rasikh, mereka hanya mengulang satu juzuk dalam sehari, bermakna setiap bulan mereka khatam al-Quran sekali. Cara ini hanya dapat dilakukan oleh hafiz yang setidak-tidaknya sudah puluhan tahun dari masa khatamnya.

Walau bagaimanapun, secara umumnya kekerapan mengulang bagi mereka yang rasikh adalah dua atau tiga kalikhatam dalam masa sebulan. Ini adalah cara mengulang yang sederhana dan tidak membebankan sekiranya mereka betul-betul berdisplin dan beristiqamah.

Adalah menjadi tanggungjawab seorang hafiz untuk mengulang bacaan mereka setiap hari. Tanpa pengulangan ayat-ayat al-Quran, hafazan akan lupa secara beransur-ansur sekalipun seseorang itu mempunyai ingatan yang kuat.

Dalam mengulang-ulang hafazan yang telah lama diperolehi, Abu Najihat al-hafiz (2001:77-78) telah memberi beberapa peringatan kepada seorang penghafaz al-Quran:

A. Untuk lebih mendisplinkan masa dalam melaksanakan pengulangan, sebaiknya seorang hafiz mempunyai keyakinan bahawa memelihara dan menjaga hafazan adalah suatu kewajipan istimewa yang ada hubungan secara langsung dengan Allah s.w.t.
 
B. Adalah menjadi suatu kesalahan bagi seorang hafiz sekiranya dia mempunyai semangat bermusim dalam mengulangkaji hafazan. Janganlah sekali-kali mengulang satu kali khatam dalam satu hari ketika rajin kemudian dalam masa yang lama seperti tiga atau empat minggu tidak melakukan pengulangan kerana dilanda perasaan malas. Kebiasaan sebagaimana di atas dapat menjejaskan hafazan dan boleh jadi lambat laun akan lupa hafazannya kerana diselimuti perasaan malas yang berterusan.

C. Kebiasaan menunda dan menangguhkan pengulangan hanya akan menambah perasaan malas pada hari yang berikutnya. Hal ini sebenarnya merupakan pembawaan nafsu malas itu sendiri yang mengajak kepada menangguh-nangguhkan tugasan dari satu masa ke masa yang berikutnya. Untuk mengelakkan kemalasan ini,usaha pengulangan hendaklah dijadikan kewajipan khas setiap hari pada satu masa yang telah ditentukan sebagaimana ketentuan waktu di dalam solat lima waktu.

Tiga perkara di atas adalah sangat penting untuk diambil berat oleh golongan huffaz yang ingin berjaya dengan cemerlang dan mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat kelak.


Kaedah Mengekalkan Hafazan (Muraja'ah/I'adah)

Pengekalan hafazan (Muraja'ah/I'adah) merupakan peringkat di mana mengekalkan hafazan yang tersimpan dalam ingatan. Bagi seorang hafiz al-Quran, adalah amat penting dan menjadi kewajipan supaya dia menjaga dan memelihara hafazannya agar terus kekal dalam ingatannya.

Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh dipraktikan mengekalkan hafazan iaitu:

A. Bergaul dengan mereka yang telah menjadi hafiz.
 
Kebiasaannya pada suatu tahap tertentu akan timbul rasa jemu dan malas untuk mengulangkaji hafazan walaupun pada awalnya semangat tersebut amat berkobar-kobar. Di sinilah fungsinya bergaul dengan orang-orang yang sedang atau sudah menghafaz al-Quran. Ia dapat membantu seseorang itu untuk konsisten dalam mengulang-ulang ayat-ayat al-Quran kerana wujudnya semangat persaingan untuk berlumba-lumba membacanya. Selain itu, mereka turut berperanan sebagai pemberi motivasi kepada seseorang yang mula malas dan lesu untuk mengulang hafazan.

B. Mendengar bacaan hafiz al-Quran.
 
Mendengar bacaan dari seorang hafiz al-Quran dapat memberi semangat kepada seseorang yang ingin mengekalkan hafazannya. Hal ini boleh dilakukan dengan mendengar kaset-kaset rakaman, radio ataupun cakera padat al-Quran. Sekiranya ingin memperolehi manfaat yang lebih banyak, seseorang hafiz itu boleh mendengar dengan teliti bacaan-bacaan yang diperdengarkan dengan memerhatikan hukum-hukum tajwidnya, ghunnah-ghunnahnya serta alunan irama bacaannya.

C. Mengulang hafazan bersama orang lain.
 
Cara ini merupakan cara popular yang digunakan oleh para ulama zaman dahulu untuk mengingati ilmu yang telah mereka pelajari. Begitu juga bagi seorang hafiz yang melakukannya secara konsisten, hafazan al-Quran lebih mudah dikekalkan. Malah pada masa yang sama, ketika berlaku ketidaklancaran pada bacaan salah seorang antara mereka, rakannya dapat membetulkan bacaan tersebut.

D. Selalu membaca ayat yang dihafaz di dalam solat.
 
Seringkali membaca ayat-ayat yang telah dihafaz di dalam solat sudah tentu akan memudah dan melancarkan lagi hafazan seseorang. Ini kerana suasana solat itu sendiri memerlukan konsentrasi dan keseriusan dalam melaksanakan ibadat tersebut. Maka seorang hafiz perlulah membuat pengulangan bacaan yang intensif dan melapangkan waktu yang agak panjang. Walaupun demikian, ini bukanlah bermakna tidak terdapat langsung kesalahan seperti kesilapan bacaan ataupun terlupa ayat yang hendak dibaca semasa membacanya di dalam solat. Namun apabila perbuatan ini menjadi rutin, lama-kelamaan akan terhasil juga satu sistem hafazan ayat-ayat suci al-Quran yang amat lancar.

E. Menyertai Musabaqah ‘Hifz al-Quran’.
 
Dengan mengikuti pertandingan seumpama ini menyebabkan seseorang itu mendapat motivasi untuk mengulang hafazannya secara berulangkali. Ini kerana pertandingan tersebut dianggap satu suasana ujian yang amat genting. Melalui pertandingan yang disertai ini, penghafaz bukan sahaja dapat menguji kemampuannya dalam menghafaz ayat al-Quran malah turut memperolehi pengalaman yang berharga apabila dapat bertukar-tukar ilmu dan buah fikiran dengan peserta daripada daerah dan negeri lain.


Dipetik dari: KEBERKESANAN KAEDAH HAFAZAN DI PUSAT TAHFIZ

PENYELIDIK-PENYELIDIK:
USTAZ ABDUL HAFIZ BIN HAJI ABDULLAH
PROF. MADYA AJMAIN BIN SAFAR
USTAZ MOHD ISMAIL BIN MUSTARI
USTAZ AZHAR BIN MUHAMMAD
USTAZ IDRIS BIN ISMAIL
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
2003

-------------------------------- 
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم
Sumber Asal : http://cendekiawanalhafiz.blogspot.com/2012/01/kaedah-mengulang-hafazan-yang-telah.html

0 Maklumbalas:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...